Seorang anggota wanita ABDB peluk Islam



​​

Oleh : Pg. Vivy Malessa Pg. Ibrahim / Foto : Ihsan Pusat Da'wah Islamiah






TUTONG, Jumaat, 4 Julai. - Majlis Pengislaman seorang anggota wanita Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) disempurnakan petang tadi bertempat di Kampung Sungai Damit Pemadang, Mukim Ukong, di sini.


Pengendalian Majlis Pengislaman tersebut merupakan tanda sokongan berterusan Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan masyarakat terhadap saudara baharu dalam meniti perjalanan keimanan, di samping mengeratkan hubungan antara saudara baharu dengan masyarakat Islam setempat. 


Dayang Shereni binti Imbaran, berusia 23 tahun yang merupakan anggota Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB) telah melafazkan dua kalimah syahadah pada majlis yang diadakan di kediamannya.


Setelah memeluk agama Islam, Dayang Shereni kini dikenali sebagai Dayang Nur Shereni binti Abdullah Imbaran.


Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Haji Mohamad Danial @ Tekpin bin Ya'akub, yang juga Penghulu Mukim Ukong, Daerah Tutong.


Turut hadir, Pemangku Pemerintah TDDB, Kolonel Muhammad Wata bin Abdullah Awat; dan Pemangku Pegawai Ugama Kanan, Pusat Da'wah Islamiah (PDI), Dayang Hajah Zunainah binti Haji Gunong.


Majlis dimulakan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan melafazkan dua kalimah  syahadah oleh saudara baharu.


Acara turut diserikan dengan Dikir Marhaban, taburan bunga rampai serta Doa Selamat yang menandakan keberkatan atas detik penting tersebut. 


Sebagai tanda sokongan dan penghargaan, PDI turut menyampaikan cenderamata yang disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis.


Menurut statistik PDI, seramai 128 orang telah memeluk agama Islam di Negara Brunei Darussalam bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini, dengan Daerah Tutong mencatatkan seramai 36 saudara baharu.


Close